Sunday, September 18, 2005

Janji...

Islam adalah agama yang cukup prihatin terhadap budi pekerti dan tingkah laku umatnya. Kebaikan dan kecantikan tingkah laku yang diamalkan oleh umat Islam, bukan sahaja boleh menyebabkan umat Islam berada dalam keadaan aman dan damai, malah menjadi model atau contoh yang baik kepada penganut agama lain. Kerana keindahan Islam dalam berbagai aspek itu, mendorong banyak orang-orang di luar Islam memeluk Islam.

Dari aspek hubungan sesama manusia umpamanya, Allah menjelaskan di dalam Al-Qur‘an bagaimana menjaga kesejahteraan masyarakat dan individu termasuk menjaga pertalian antara satu sama lain. Demi menjaga kesejahteraan, maka membuat sebarang janji hendaklah ditepati. Menepati janji itu adalah tuntutan syara‘, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya”.

(Surah Al-Isra’: 34)

Ayat ini memperingatkan bahawa hidup manusia di dunia ini selalu terikat dengan janji. Oleh kerana itu jangan mudah kita membuat janji, kalau janji itu dijangka sukar untuk ditepati atau dipenuhi.

Pendidikan memenuhi janji itu boleh kita dapati daripada amalan-amalan berbagai ibadat yang kita lakukan, umpamanya sembahyang yang kita tunaikan dalam waktunya. Lebih-lebih lagi jika dilakukan di awal waktunya adalah suatu janji. Ini janji kita dengan Allah. Kalau kita telah biasa memenuhi janji dengan Allah, nescaya kita boleh mendisiplinkan diri meneguhi janji dengan sesama manusia, kerana setiap perjanjian itu akan ditanya, ertinya akan dipertanggungjawabkan.

Kekuatan kita di antara lain diasaskan dengan berpegang teguh dengan tali Allah dan tali manusia. Tali dengan sesama manusia itu janji. Oleh kerana itu melepaskan ikatan daripada kedua-dua tali ini, akibatnya akan ditimpakan kehinaan di mana saja kita berada. Inilah peringatan Allah di dalam firmanNya:

Tafsirnya: “Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab daripada Allah dan adanya sebab daripada manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-Nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).”

(Surah Ali Imran: 112)

Bahkan antara sifat mengerjakan kebajikan itu ialah orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji dan mereka itu adalah orang-orang yang bertaqwa. Sifat ini adalah urutan daripada sifat al-birr (kebajikan) di mana sebelumnya disebut perkara kebajikan itu hanya menghadapkan muka kamu ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, hari akhirat, segala Malaikat, segala kitab-kitab, sekalian Nabi-nabi: dan mendermanya seseorang akan hartanya (sedang ia menyayanginya) kepada keluarga, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, kepada orang yang meminta (bantuan) dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjakannya seseorang akan sembahyang dan mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: “Dan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa”.

(Surah Al-Baqarah: 177)

Ini bererti bahawa orang Islam mestilah menyempurnakan janji-janjinya. Sebaliknya mungkir janji atau sengaja tidak mahu menyempurnakan janjinya di mana orang sedemikian tergolong dalam golongan orang-orang munafiq. Hal orang munafiq ini telah ditegaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: “Dari tanda-tanda orang munafiq itu ada tiga iaitu jika dia bercakap dia berbohong dan jika dia berjanji dia mengingkari janji dan jika diamanahkan dia khianat”.

(Hadis riwayat Muslim)

Munafiq juga adalah satu sifat yang sangat keji dan balasannya pula amat berat. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang munafiq itu di tempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali daripada (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka”.

(Surah An-Nisa’: 145)

Demikian, keburukan orang-orang yang sengaja mungkir janji sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Qur‘an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Walau bagaimanapun, orang yang berjanji dan dia berazam akan menyempurnakan janjinya, tetapi terhalang oleh suatu keuzuran yang menyebabkan janji tersebut tidak mampu disempurnakan, maka tidaklah dia termasuk dalam golongan munafiq itu.

1 Comments:

At 8:53 PM, Anonymous Anonymous said...

sedak boh tu.....

 

Post a Comment

<< Home